Thursday, January 11, 2024

ZIARAH SHAYKH MUHAMMAD ADIL AL-RABBANI KE MAJLIS A'LA TURUQ AS-SUFIYAH, MESIR DAN SEJARAH PENUBUHAN MAJLIS A'LA TURUQ SUFIYYAH, MESIR

Kaherah, Mesir 9 Januari 2024

Shaykh Muhammad Adil telah melakukan ziarah ke Negara Mesir dan mengadakan pertemuan bersama Masyikhah Thuruq Sufiyyah Kerajaan Mesir yang diketuai oleh Samahah Dr Abdel Hadi El-Qasby yang merupakan ketua Thuruq Sufiyah  dan juga Syeikh Tarekat Khalwatiyah Qasbiyah.


Dalam majlis itu juga , Shaykh Muhammad Adil mendapat pengiktirafan daripada Masyikhah Thuruq Sufiyyah Kerajaan Mesir sebagai Mursyid Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqaniyyah. Dua orang yang menjadi wakil kepada Shaykh Muhammad Adil di Mesir ialah Shaykh Abdul Jalil & Shaykh Abdul Hayy.

Masyikhah Thuruq Sufiyyah ialah badan rasmi Kerajaan Mesir yang bertugas untuk menerima pendaftaran Tarekat-Tarekat Sufi yang muktabar dan menghalang penyebaran ajaran sesat yang menggunakan nama Tarekat. Ia diduduki oleh ulama-ulama Universiti al-Azhar al-Syarif. 

Majlis turut dihadiri Dr Majdi Asyur, Ahli Majlis Fatwa Mesir, Dr Usamah Al-Azhary, ulama' Al-Azhar dan juga penasihat Presiden Mesir.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai hubungan yang istimewa bersama Majlis A'la Turuq As-Sufiyyah sejak zaman Dato' Sheikh Mohd Murtadza, Mufti Ke 4 Negeri Sembilan. Kerjasama yang baik sejak dahulu telah berjaya memperakukan satu enakmen yang dinamakan Enakmen Tarekat Tasawuf yang dikuatkuasakan pada tahun 2005. Semoga Enakmen ini menjadi undang-undang yang dapat membezakan yang mana pengamal tarekat yang sejati atau ajaran sesat yang bertopengkan Tarekat.

Sejarah Penubuhan Majlis A'la Turuq Sufiyyah Mesir

Di Mesir, kewujudan organisasi turuq sufiyyah bermula pada zaman pemerintahan al-Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Ini tebukti apabila beliau telah membina al-Khanaqah ( خانقاه ) yang juga dikenali ketika itu sebagai Sa‘id  al-Su‘ada. Al-Khanaqah juga dikenali sebagai zawiyah, iaitu tempat untuk mengamalkan segala bentuk syiar agama seperti solat, puasa, tahajjud, zikr, fikr, berwirid, mendirikan halaqah zikr dan lain-lain .

Pada kurun ke sembilan belas, tariqat-tariqat tasauwuf di Mesir dipimpin oleh seorang syeikh utama. Beliau merupakan juru bicara bagi pihak semua tariqat yang ada. Pada masa yang sama, setiap tariqat mempunyai seorang syeikh, manakala setiap syeikh mempunyai khalifah di kawasan perkampungan dan naibnya di pusat-pusat dan tempat pengajian .

Undang-undang pertama telah dikuatkuasakan pada 2 Jun 1903 bagi menyusun tariqat tasauwuf. Penambahbaikan terhadap undang-undang ini telah dilakukan dengan pewartaan Undang-Undang No.118 pada tahun 1976. Antara lain, undang-undang ini telah mewujudkan Majlis Sufi dan menentukan keanggotaannya yang terdiri daripada;

i. Syeikh al-Masyayaikh

ii. Sepuluh orang yang dilantik dalam kalangan syeikh-syeikh tariqat

iii. Wakil Universiti al-Azhar yang dinamakan oleh Syeikh al-Azhar

iv. Seorang wakil Kementerian Wakaf yang dinamakan oleh Menteri

v. Seorang wakil Kementerian Dalam Negeri yang dinamakan oleh Menteri

vi. Seorang wakil Kementerian Kebudayaan

vii. Wakil-wakil daripada agensi lain yang ditentukan oleh Menteri di Kementerian berkenaan.


Usaha bagi memantapkan institusi tariqat tasauwuf di Mesir diperkasakan lagi apabila Presiden Republik Mesir meluluskan Undang-Undang No.54 pada tahun 1978. Undang-undang ini dilihat sebagai usaha memurnikan ketulinan manhaj tasauwuf dan penglibatan institusi ini dalam kegiatan dakwah, pendidikan, pengurusan kewangan dan pentadbiran, pembentukan peribadi dan lain-lain .